1. Keadaan Cuaca Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam Monsun Barat Daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga bulan September.
Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di Negara kita pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya dalam tempoh ini.
Pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini, Isnin (02 September 2024), Ribut Tropika Yagi dikesan di koordinat 15.2°N 122.6°E, di kawasan berdekatan Utara Filipina, sekitar 1400 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Ribut Tropika Yagi diramalkan bergerak ke arah Barat Laut dan menjauhi Negara kita.
2. Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Ribut Tropika Yagi dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara kita secara tidak langsung. Keadaan sedikit berangin dijangka berlaku pada beberapa hari akan datang, dengan hujan atau hujan berpetir berlaku terutama di kawasan laut. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit hingga sederhana, dengan ketinggian ombak 0.7-1.2 m.
3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil semasa keadaan hujan berangin kencang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.