KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
30 Aug 2024
Pada hari ini, 30 Ogos 2024, Negara Brunei Darussalam telah dilanda kejadian angin kencang berserta hujan. Kelajuan angin tertinggi telah di rekodkan pada pukul 1.09 petang waktu tempatan hari ini di Stesen Pencerapan Kajicuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Brunei Darussalam mencapai 72 kmsj. Jumlah turunan hujan yang telah direkodkan dari 1 hingga 29 Ogos 2024 adalah sebanyak 288.5 mm iaitu sedikit diatas jumlah normal.
Kejadian hujan badai atau hujan berangin kencang masih berpotensi berlaku bagi beberapa hari yang akan datang sehingga hari Selasa (3 September 2024), terutama di kawasan pesisiran dan perairan Negara dan juga berpotensi merebak ke kawasan pedalaman. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 ke 75 kmsj semasa atau dekat hujan berangin kencang.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.8-1.3 meter.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko kejadian pokok tumbang dan tanah susur semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya, dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.