1. Keadaan Cuaca Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam Monsun Barat Daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga bulan September.
Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di Negara kita pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya semasa tempoh ini.
Pada pukul 8 pagi waktu tempatan hari ini, Isnin (22 Julai 2024), Ribut Tropika GAEMI telah di naiktaraf ke Taufan GAEMI dan dikesan di koordinat 17.4°N 125.2°E, di kawasan Timur Laut Lautan Filipina, sekitar 1600 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Taufan GAEMI diramalkan bergerak ke arah Barat Laut dan menjauhi Negara kita.
2. Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Taufan GAEMI dengan secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara kita. Keadaan sedikit berangin dijangka berlaku bagi beberapa hari akan datang dengan hujan atau hujan berpetir beserta angin kencang berpotensi berlaku terutama di kawasan laut dan pesisiran. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 60 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana dengan ketinggian ombak di antara 1.0-1.5 m.
3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat. Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.