KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 30 MEI 2024
30 May 2024
Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung tempoh peralihan monsun dan akan beralih ke fasa Monsun Barat Daya pada bulan Jun 2024. Pada lazimnya Monsun Barat Daya akan berterusan sehingga bulan September.
Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di Negara kita pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya semasa tempoh ini.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca masih diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh pembentukan sistem tekanan rendah berdekatan dengan Negara kita yang menjadikan keadaan atmosfera tidak stabil, dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca aktif dijangka bermula pada malam ini, Khamis (30 Mei 2024) hingga Isnin (03 Jun 2024), dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan Negara. Manakala, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa hujan lebat atau berpetir.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di antara 0.3 dan 0.7 meter.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.