PERMULAAN MONSUN BARAT DAYA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 29 MEI 2024
29 May 2024
Negara Brunei Darussalam akan beralih dari fasa peralihan monsun ke Monsun Barat Daya yang dijangka akan bermula pada bulan Jun 2024. Pada lazimnya Monsun Barat Daya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di Negara kita pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya semasa tempoh ini.
Monsun Barat Daya juga adalah sinonim dengan musim pembentukan sistem ribut tropika dan taufan di kawasan Barat Laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan. Jika ianya berlaku, keadaan cuaca Negara boleh dipengaruhi dengan kehadiran sistem ribut tropika atau taufan. Namun, ianya tertakluk pada intensiti serta jarak lokasi sistem berkenaan daripada kawasan Negara kita.
Kesan pengaruh dari sistem ribut tropika atau taufan yang berdekatan dengan rantau kita boleh menyebabkan pembentukan fenomena garis badai yang akan menjadikan Negara kita mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan ribut petir berserta angin kencang sekali-sekala. Garis badai adalah sel-sel ribut petir yang bergerak pantas dalam pembentukan barisan yang panjang. Manakala sekitar bulan Ogos, keadaan cuaca kering di rantau Asia Tenggara boleh menyebabkan Negara mengalami keadaan berjerebu berpunca daripada jerebu asap rentas sempadan dari negara jiran serta daripada aktiviti pembakaran tempatan.
Merujuk pada rekod klimatologi kami, jumlah turunan hujan normal yang di rekodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan Jun, Julai, Ogos dan September adalah 237.7 mm, 241.8 mm, 231.5 mm dan 235.1 mm. Namun, berpandukan pada beberapa model iklim antarabangsa, jumlah turunan hujan di Negara kita dijangka berada dalam lingkungan sedikit di atas nilai normal 260 mm bagi bulan Jun iaitu antara 290 mm hingga 330 mm manakala bagi bulan Julai dan Ogos adalah di atas normal iaitu atas 340 mm bagi bulan Julai dan atas 320 mm bagi bulan Ogos. Manakala jumlah hari-hari berhujan normal bagi bulan Jun, Julai dan Ogos adalah sekitar 17 hari setiap bulan manakala bagi bulan September adalah 18 hari.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.