1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung tempoh peralihan monsun dan dijangka akan memasuki Monsun Barat Daya pada sekitar awal bulan Jun 2024.
Sepanjang tempoh peralihan monsun ini, keadaan cuaca di Negara kita dipengaruhi oleh kesan angin tempatan, yang mana pada lazimnya berlaku hujan atau hujan berpetir di kawasan pedalaman negara pada waktu petang, dan menjejaskan pesisiran dan perairan Negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi.
Pada pukul 2 pagi waktu tempatan hari ini, Isnin (27 Mei 2024), Ribut Tropika EWINIAR telah dinaik taraf ke Taufan EWINIAR dan dikesan di koordinat 15.5°N 122.5°E, Timur Laut Filipina, sekitar 1400 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Taufan EWINIAR diramalkan bergerak ke arah Timur Laut menjauhi Negara kita.
2. Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Taufan EWINIAR masih dijangka dengan secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara kita.
Keadaan sedikit berangin dijangka berlaku bagi beberapa hari akan datang dengan hujan atau hujan berpetir beserta angin kencang berpotensi berlaku terutama di kawasan laut dan pesisiran. Kelajuan angin meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat beserta angin kencang.
Keadaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang. Ianya disebabkan oleh pertembungan dua arah angin yang berbeza yang berlaku di rantau kita, yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca aktif dijangka bermula pada hari ini, Isnin (27 Mei 2024) sehingga Rabu (29 Mei 2024), dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan. Manakala, kelajuan angin meningkat sehingga 50 kmsj semasa hujan lebat atau berpetir.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana dengan ketinggian ombak di antara 0.4 m dan 1.5 m.
3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat. Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.