KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 22 MEI 2024
22 May 2024
Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam tempoh peralihan monsun.
Sepanjang tempoh ini, keadaan cuaca di Negara kita dipengaruhi oleh kesan angin tempatan, yang mana pada lazimnya berlaku hujan atau hujan berpetir di kawasan pedalaman negara pada waktu petang, dan menjejaskan pesisiran dan perairan Negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang. Ianya disebabkan oleh pembentukan sistem tekanan udara rendah berdekatan dengan Negara kita yang menjadikan keadaan atmosfera tidak stabil, dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca aktif dijangka bermula pada hari ini, Rabu (22 Mei 2024) sehingga Ahad (26 Mei 2024), dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan Negara.
Manakala, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa hujan lebat atau berpetir.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di antara 0.3 dan 0.6 meter.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.