KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 15 MEI 2024
15 May 2024
Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam tempoh peralihan monsun.
Di sepanjang tempoh ini, keadaan cuaca di negara kita dipengaruhi oleh kesan angin tempatan, yang mana lazimnya hujan atau hujan berpetir di kawasan pedalaman pada sebelah petang, menjejaskan pesisiran dan perairan negara pada sebelah malam, dan kadang-kala boleh berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.
Ramalan Keadaan Cuaca
Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang. Ianya disebabkan oleh pertembungan dua arah angin yang berbeza berlaku di rantau kita, yang mengakibatkan keadaan atmosfera menjadi lembap dan seterusnya menggalakkan pembentukan awan hujan.
Keadaan cuaca aktif bermula pada hari ini, Rabu (15 Mei 2024) sehingga Ahad (19 Mei 2024), dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa hujan lebat atau berpetir.
Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya di paras sedikit, dengan ketinggian ombak antara 0.3 dan 0.6 meter.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan juga semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang
www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.