KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM FASA KEDUA MONSUN TIMUR LAUT (FEBRUARI HINGGA MAC 2024)

30 Jan 2024

Negara Brunei Darussalam dijangka akan memasuki fasa kedua Monsun Timur Laut pada awal bulan Februari 2024 dan dijangka akan berterusan sehingga bulan Mac 2024. Semasa tempoh ini, pada kebiasaannya keadaan atmosfera cenderung lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

Secara relatif, bulan Februari dan bulan Mac dikategorikan sebagai dua bulan terkering dengan jumlah purata turunan hujan yang terendah direkodkan berbanding dengan bulan-bulan lain. Berasaskan data klimatologi, jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 162.9 mm dan bagi bulan Mac ialah 143.4 mm.

Berdasarkan jangkaan iklim bermusim yang terkini yang dikeluarkan oleh pusat iklim dunia, fenomena El Nino yang berintensiti kuat masih berlaku di Lautan Pasifik dan dijangka akan beransur-ansur berkurangan menjelang bulan Jun 2024. Kehadiran fenomena El Nino tersebut dijangka akan menambah lagi pengurangan turunan hujan di Negara kita bagi bulan Februari, iaitu sedikit di bawah normal sekitar 100-130 mm. Walau bagaimanapun, bagi bulan Mac, jumlah turunan hujan diramalkan normal iaitu sekitar 110-170 mm.

Impak-impak cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua Monsun Timur Laut adalah keadaan panas dan kering. Pada waktu siang, suhu udara harian maksima ada kalanya boleh meningkat antara 33°C ke 35°C, dan keadaan kering juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu.

Walaupun demikian, aktiviti turunan hujan masih berlaku sekali sekala terutama pada waktu malam dan keadaan berkabut boleh berlaku pada awal pagi. Keadaan cuaca sedikit berangin juga dijangka berlaku sekali-sekala dan boleh menyebabkan keadaan ombak meningkat ke paras bergelora sehingga mencapai ketinggian 2 ke 3 meter di perairan Brunei. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi dan sukan di laut.

Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah awal dan perancangan yang bersesuaian yang berhubungkait dengan kemungkinan berlakunya keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.