KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 17 DISEMBER 2023

17 Dec 2023

1.Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di Monsun Timur Laut dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2024. Semasa tempoh dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember 2023 dan Januari 2024), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

Pada pukul 8 pagi waktu tempatan hari ini, Ahad (17 Disember 2023), Ribut Tropika (TS) JELAWAT dikesan di koordinat 7.8°N 129.3°E, di kawasan laut Tenggara Filipina, sekitar 1600 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Ribut Tropika (TS) JELAWAT diramalkan bergerak ke arah Barat namun masih jauh dari Negara kita.



2.Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Ribut Tropika (TS) JELAWAT dijangka dengan secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara kita. Keadaan sedikit berangin dijangka berlaku bagi beberapa hari akan datang dengan hujan atau hujan berpetir serta angin kencang berpotensi berlaku terutama di kawasan laut dan pesisiran. Kelajuan angin meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana dengan ketinggian ombak di antara 0.8 m dan 1.6 m.

3.Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat. Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.