Isnin, 4hb Disember 2023 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan Kali Ke-22 bertempat di Dewan Auditorium Jabatan Penerangan dan telah dihadiri oleh seramai 74 wakil daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai. Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini telah disampaikan oleh Awang Mohammad Affindi bin Haji Sabli, Pemangku Ketua Pegawai Kajicuaca Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam.
Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini memfokuskan pada keadaan cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi Monsun Timur Laut yang akan bermula pada awal bulan Disember 2023 dan dijangka akan berterusan sehingga bulan Mac 2024.
Dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember 2023 dan Januari 2024), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, adalah bulan-bulan yang lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Semasa tempoh ini, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi. Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac 2024), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.
Berasaskan data klimatologi, berikut adalah jumlah purata turunan hujan dan hari-hari berhujan bagi tempoh Disember 2023 hingga Februari 2024 beserta dengan ramalan cuaca bermusim yang dikongsikan semasa taklimat tersebut:
Bulan |
Jumlah Purata Turunan Hujan |
Jumlah Purata Hari-Hari Berhujan |
Ramalan Cuaca Bermusim |
---|
Disember 2023 |
358.9 mm |
21 hari |
Normal |
Januari 2024 |
320.6 mm |
18 hari |
Sedikit Bawah Normal |
Februari 2024 |
162.9 mm |
12 hari |
Bawah Normal |
Mac 2024 |
143.4 mm |
13 hari |
Bawah Normal |
Selain daripada itu, Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini juga membincangkan mengenai keadaan El Niño yang sedang berlaku di rantau kita pada masa ini, yang disampaikan oleh Dayang Zulfah Zuhairah binti Abdul Rani, Pegawai Pengkajian dan Perkembangan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam.
Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengalami pengurangan aktiviti hujan dan penurunan jumlah turunan hujan dengan peningkatan suhu udara. Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi dijangka berlaku semasa kemuncak fenomena El Niño sekitar awal tahun 2024, terutama pada bulan Februari dan Mac 2024 nanti, iaitu dua bulan yang terkering bagi Negara Brunei Darussalam, berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak dan hubungkait dengan keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku pada Musim Tengkujuh ini, dan juga keadaan cuaca kering yang diramalkan berlaku pada bulan Februari dan Mac 2024. Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab.
Latar Belakang Taklimat Cuaca Kebangsaan:
Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif BDMD dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti Kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan, Kumpulan Ekonomi dan Industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat-syarikat insuran, Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pihak Media Massa. Matlamat utama Taklimat Cuaca Kebangsaan diadakan ialah untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai dengan keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam. Taklimat ini juga akan dapat memudahcara kesiap-siagaan kumpulan pengguna dan orang ramai dalam membuat perancangan dan sebarang tindakan awal dalam menghadapi sebarang keadaan cuaca.