KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 2 DISEMBER 2023

02 Dec 2023

1.Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di permulaan Monsun Timur Laut dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2024. Dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember 2023 dan Januari 2024), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, adalah bulan-bulan yang lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

2.Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Keadaaan cuaca tidak menentu masih dijangkakan berterusan bagi beberapa hari yang akan datang disebabkan oleh pertembungan luruan angin sejuk dengan satu sistem tekanan rendah berdekatan dengan Negara kita yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga hari Khamis (7 Disember 2023), dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala berlaku dengan kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.

Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, sehingga 1.5 meter.

3.Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Risiko pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.