PERMULAAN MONSUN TIMUR LAUT BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 28 NOVEMBER 2023
28 Nov 2023
Negara Brunei Darussalam akan memasuki Monsun Timur Laut pada awal bulan Disember 2023 dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2024. Dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember 2023 dan Januari 2024), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, adalah bulan-bulan yang lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Semasa tempoh ini, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.
Berasaskan data klimatologi, bulan Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 358.9 mm, dan bulan Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 320.6 mm. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Disember ialah 21 hari dan bulan Januari ialah 18 hari.
Semasa Musim Tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam. Luruan angin sejuk Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj.
Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jet ski, dan menyelam skuba) semasa musim ini.
Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac 2024), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan, dengan jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 162.9 mm dan bagi bulan Mac ialah 143.4 mm. Manakala, purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Februari ialah 12 hari dan bulan Mac ialah 13 hari.
Walau bagaimanapun, dengan keadaan El Niño yang sedang berlaku di rantau kita pada masa ini, Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengalami pengurangan aktiviti hujan dan penurunan jumlah turunan hujan dengan peningkatan suhu udara. Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi dijangka berlaku semasa kemuncak fenomena El Niño sekitar awal tahun 2024, terutama pada bulan Februari dan Mac 2024 nanti, iaitu dua bulan yang terkering bagi Negara Brunei Darussalam, berbanding dengan bulanbulan yang lain. Peningkatan suhu harian maksima mungkin mencecah 34.0°C atau lebih pada waktu petang. Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam juga cenderung berlaku semasa episod El Niño.
Berdasarkan model-model iklim antarabangsa, keadaan El Niño dijangka berlarutan sehingga bulan Jun 2024. Oleh itu, ramalan cuaca bermusim bagi jumlah turunan hujan untuk tempoh Disember 2023 hingga Februari 2024 adalah seperti berikut:
Disember 2023
-Normal (280-430 mm)
Januari 2024
-Sedikit Bawah Normal (190-260 mm)
Februari 2024
-Bawah Normal (≤100 mm)
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak dan hubungkait dengan keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku pada Musim Tengkujuh ini, dan juga keadaan cuaca kering yang diramalkan berlaku pada bulan Februari dan Mac 2024. Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab