KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 06 NOVEMBER 2023

06 Nov 2023

1. Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam tempoh peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan November 2023. Sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.

2. Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Keadaaan cuaca dijangka aktif pada beberapa hari yang akan datang disebabkan oleh pertembungan satu sistem tekanan rendah berdekatan dengan Negara kita dengan kesan angin tempatan yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga hari Sabtu (11 November 2023), dengan hujan lebat dan berpetir sekali-sekala berlaku terutama di kawasan pedalaman pada waktu lewat petang dan sekali-sekala merebak ke kawasan pesisiran pantai pada waktu malam. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di bawah 1.0 meter.

3. Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Risiko pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.