KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 5 OKTOBER 2023
05 Oct 2023
1. Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas Monsun Barat Daya dan sebelum memasuki Monsun Timur Laut. Tempoh peralihan monsun ini dijangka berterusan sehingga hujung bulan November 2023. Sepanjang tempoh ini, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan untuk memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita. Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tertinggi semasa tempoh peralihan monsun ini berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Ramalan Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula pada awal pagi, Jumaat (6 Oktober 2023) sehingga pagi hari Ahad (8 Oktober 2023), dengan hujan lebat dan berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan Negara.
Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Manakala di Perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, dengan ketinggian ombak 0.3 hingga 0.8 meter.
3. Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Risiko kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang
www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.