PERMULAAN TEMPOH PERALIHAN MONSUN BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 2 OKTOBER 2023
02 Oct 2023
Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas Monsun Barat Daya dan sebelum memasuki Monsun Timur Laut. Tempoh peralihan monsun ini dijangka berterusan sehingga hujung bulan November 2023.
Sepanjang tempoh ini, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan untuk memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita. Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tertinggi semasa tempoh peralihan monsun ini berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi bulan Oktober ialah 21 hari dan bagi bulan November ialah 22 hari.
Sepanjang tempoh ini negara lazimnya mengalami:
• Keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengahari;
• Ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari;
• Tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah Barat Laut pada waktu petang; dan
• Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.
Namun dengan keadaan El Niño yang pada masa ini sedang berlaku, negara kita lazimnya akan mengalami aktiviti turunan hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara. Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi berlaku semasa kemuncak fenomena El Niño menjelang hujung tahun 2023 hingga awal tahun 2024.
Peningkatan suhu harian maksima mungkin mencecah 34.0°C atau lebih pada waktu petang. Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam juga cenderung berlaku semasa episod El Niño.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.