KEMASKINI STATUS EL NIÑO SOUTHERN OSCILLATION (ENSO) 23 SEPTEMBER 2023

23 Sep 2023

Keadaan El Niño pada masa ini sedang berlaku, dengan suhu permukaan laut (SST) di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik dikesan lebih panas daripada tahap purata. Kebanyakan model iklim antarabangsa bersependapat bahawa pemanasan suhu permukaan laut akan berterusan berlaku, dan intensiti El Niño diramalkan akan meningkat dalam beberapa bulan yang akan datang dan dijangka berterusan sehingga awal tahun depan, 2024.

El Niño juga dikenali sebagai 'fasa panas' dari kitaran El Niño Southern Oscillation (ENSO). Keadaan ENSO dipantau melalui penganalisaan suhu permukaan laut, angin di paras rendah atmosfera, keadaan pembentukan awan dan suhu bawah permukaan di kawasan pemantauan Lautan Pasifik. Fenomena ini berlaku setiap 3-7 tahun secara purata, dan cenderung memuncak semasa musim sejuk Hemisfera Utara (Disember hingga Februari).

Semasa episod El Niño, gangguan sementara terhadap corak cuaca tempatan dijangka berlaku di seluruh dunia, termasuk di Negara Brunei Darussalam. Kesan El Niño kepada negara kita lazimnya termasuklah aktiviti turunan hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara dan kelembapan relatif yang rendah. Keadaan cuaca lebih kering dan panas dijangka berlaku terutamanya semasa kemuncak episod El Niño dengan berkemungkinan peningkatan suhu harian maksima mencecah 34.0°C atau lebih pada waktu petang.

Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam cenderung berlaku semasa episod El Niño. EHW berlaku apabila suhu maksimum harian merekodkan sekurang-kurangnya 35.0°C selama tiga hari berturut-turut. Kejadian EHW terakhir yang berlaku di Negara Brunei Darussalam adalah semasa episod El Niño pada 28-30 September 2019.

Mengambilkira berlakunya keadaan El Niño pada masa ini, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca terkini, dan mengambil sebarang langkah berjaga-jaga dan keselamatan serta mematuhi mana-mana garis panduan yang diberikan oleh pihak-pihak berkenaan berhubung dengan keadaan cuaca yang dijangka lebih kering dan panas dalam bulan-bulan yang akan datang.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.