KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 18 SEPTEMBER 2023

18 Sep 2023

Keadaan Cuaca Secara Am

Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya semakin lemah. Angin Barat Daya yang lemah bertembung dengan angin dari arah Timur Laut yang kuat pada minggu ini yang menyebabkan keadaan atmosfera yang lembab dan mengakibatkan cuaca yang aktif untuk beberapa hari akan datang.

Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 329.6 mm sejak 1 September 2023. Jumlah ini telah mencapai jumlah turunan hujan sedikit di atas normal, yang mana jumlah normal bagi bulan September (1991-2020) iaitu 235.1 mm.

Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam

Keadaan cuaca aktif dijangka berlaku bermula pada hari ini (18 September 2023) sehingga hari Jumaat (22 September 2023), dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakkan kawasan Negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, antara 0.4 dan 0.8 meter.

Nasihat Kami

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.