KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 9 SEPTEMBER 2023
09 Sep 2023
Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya masih dominan dengan keadaan atmosfera yang stabil. Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca masih diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh keadaan atmosfera yang lembap di rantau kita yang meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 148.3 mm sejak 1 September 2023. Jumlah ini telah mencapai lebih separuh daripada jumlah turunan hujan normal bagi bulan September (1991-2020) iaitu 235.1 mm.
Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif dijangka berterusan sehingga hari Selasa (12 September 2023), dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakkan kawasan Negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, antara 0.4 dan 0.8 meter.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Keadaan laut bergelora adalah merbahaya bagi operasi bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.