KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 5 SEPTEMBER 2023

05 Sep 2023

Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya adalah dominan dengan keadaan atmosfera yang stabil.

Sejak awal bulan Ogos hingga hari ini, Negara Brunei Darussalam telah mengalami keadaan sedikit berjerebu yang berasal dari asap jerebu rentas sempadan dari negara-negara jiran yang ditiup oleh angin Barat Daya ke Negara kita. Stesen Pencerapan Kajicuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan penurunan jarak penglihatan mendatar antara 7 km hingga 10 km.

Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam diramal akan mengalami keadaan cuaca aktif bermula pada malam ini, Selasa (5 September 2023) sehingga hari Sabtu (9 September 2023), dengan hujan lebat dan berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan Negara. Hujan badai juga dijangka berlaku dari masa ke semasa. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

Manakala di Perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, dengan ketinggian ombak antara 0.4 dan 0.8 meter, dan dijangka meningkat ke paras sederhana sehingga 1.5 meter pada hari Jumaat dan hari Sabtu terutama di kawasan lepas pantai.

Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Risiko kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.