KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 2 OGOS 2023
02 Aug 2023
Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya adalah dominan dengan keadaan atmosfera yang stabil.
Brunei Darussalam telah mengalami keadaan sedikit berjerebu sejak 25 Julai hingga hari ini. Keadaan berjerebu ini adalah disebabkan oleh jerebu asap yang berasal dari jerebu rentas sempadan yang berasal dari negara-negara jiran yang ditiup oleh angin Barat Daya ke Negara Brunei Darussalam. Stesen Pencerapan Kajicuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan penurunan jarak penglihatan mendatar antara 7 km hingga 9 km.
Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam dijangka akan terus mengalami keadaan berjerebu di tahap sedikit untuk beberapa minggu akan datang disebabkan oleh kurangnya aktiviti dan jumlah turunan hujan setempat. Permukaan suhu udara dijangka lebih panas daripada biasa, dimana suhu maksima dijangka antara 33°C ke 35°C.
Walau bagaimanapun, keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula pada hari ini, Rabu (2 Ogos 2023) hingga hari Sabtu (5 Ogos 2023), disebabkan oleh pengaruh secara tidak langsung sistem Taufan Khanun yang pada pukul 9 pagi waktu tempatan hari ini, jarak lokasinya adalah kira-kira 12,500 km jauh daripada Negara Brunei Darussalam.
Hujan lebat dan berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan Negara. Hujan badai juga dijangka berlaku dari masa ke semasa. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Manakala di Perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, dengan ketinggian ombak antara 0.4 dan 0.8 meter, dan dijangka meningkat ke paras sederhana sehingga 1.5 meter pada hari Khamis dan hari Jumaat terutama di kawasan lepas pantai.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Risiko kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.