KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 20 JULAI 2023
20 Jul 2023
Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya masih dominan dengan keadaan atmosfera yang stabil. Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh kehadiran keadaan atmosfera yang lembap di rantau kita yang meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif dijangka bermula malam hari ini (20 Julai 2023) sehingga Sabtu pagi (22 Julai 2023) dengan hujan lebat dan berpetir sekali-sekala menjejaskan kebanyakan kawasan Negara. Hujan badai juga dijangka berlaku dari masa ke semasa. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana hingga bergelora, dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 3.0 m terutamanya di kawasan lepas pantai.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.