KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 16 JULAI 2023
16 Jul 2023
1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, yang lazimnya berterusan hingga bulan September. Semasa tempoh ini, keadaan atmosfera di Negara kita pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir yang berkurangan.
Pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini (16 Julai 2023), Ribut Tropika (STS) TALIM telah dikesan di koordinat 19.1°N 115.4°E, di kawasan utara Laut China Selatan, kira-kira 1700 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Ribut Tropika (STS) TALIM diramalkan bergerak ke arah Barat-Barat Laut menjauhi Negara kita.
2. Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Ribut Tropika (STS) TALIMdijangka akan mempengaruhi cuaca di Negara kita dan akan menyebabkan keadaan cuaca menjadi aktif dan tidak menentu sehingga hari Selasa, 18hb Julai 2023. Hujan atau hujan berpetir berserta angin kencang sekali-sekala dijangka berlaku dengan kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 60 kmsj semasa atau dekat hujan lebat melintas.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana hingga bergelora, dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 3.0 m.
3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat. Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.