KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 11 JULAI 2023

11 Jul 2023

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam

Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya masih dominan dengan keadaan atmosfera yang stabil. Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh kehadiran keadaan atmosfera yang lembap di rantau kita yang meningkatkan pembentukan awanawan hujan.

Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 244.6 mm sejak 1 Julai 2023. Jumlah ini telah mencapai jumlah turunan hujan normal bagi bulan Julai (1991-2020) iaitu 241.8 mm.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam

Keadaan cuaca aktif dijangka berlaku bermula pada hari ini, Selasa (11 Julai 2023) sehingga hari Ahad (16 Julai 2023), dengan hujan lebat berpetir berserta berangin kencang sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakkan kawasan Negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj di kawasan darat dan 60 kmsj di kawasan laut semasa atau dekat hujan lebat berpetir.

Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, antara 0.4 dan 1.0 meter dan dijangka meningkat ke paras bergelora sehingga 3.0 meter pada hujung minggu.

Nasihat Kami

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut bergelora adalah merbahaya bagi operasi bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.