KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 4 JULAI 2023

05 Jul 2023

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya masih dominan dan keadaan atmosfera adalah stabil. Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca diramalkan masih aktif untuk beberapa hari yang akan datang disebabkan oleh keadaan atmosfera lembap dan seterusnya menyebabkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 161.1 mm sejak 1 Julai 2023. Jumlah ini telah melebihi separuh daripada jumlah turunan hujan normal bagi bulan Julai iaitu 241.8 mm.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif dijangka bermula esok, Rabu (5 Julai 2023) sehingga Ahad (9 Julai 2023), dengan hujan lebat berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan kebanyakan kawasan Negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.

Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, antara 0.3 dan 0.8 meter.

Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.