PERMULAAN MONSUN BARAT DAYA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 MEI 2023

24 May 2023

Negara Brunei Darussalam akan beralih dari fasa peralihan monsun ke Monsun Barat Daya yang dijangka akan bermula sekitar minggu terakhir bulan Mei ini. Pada lazimnya Monsun Barat Daya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di Negara kita pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir yang berkurangan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya semasa tempoh ini.

Monsun Barat Daya juga adalah sinonim dengan musim pembentukan sistem ribut tropika dan taufan di kawasan Barat Laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan. Oleh itu, keadaan cuaca Negara boleh dipengaruhi dengan kehadiran sistem-sistem ribut tropika atau taufan ini. Namun, ianya tertakluk pada jarak lokasi sistem-sistem berkenaan daripada kawasan Negara kita.

Kesan pengaruh dari sistem ribut tropika atau taufan yang berdekatan dengan rantau kita boleh menyebabkan pembentukan fenomena garis badai yang akan menjadikan Negara kita mengalami keadaan cuaca tidak menentu
dengan ribut petir berserta angin kencang sekali-sekala. Garis badai adalah sel-sel ribut petir yang bergerak pantas dalam pembentukan barisan yang panjang. Manakala sekitar bulan Ogos, kebiasaannya Negara akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Merujuk pada rekod klimatologi kami, jumlah turunan hujan normal yang di rekodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan Jun, Julai, Ogos dan September adalah 237.7 mm, 241.8 mm, 231.5 mm dan 235.1 mm. Namun, berpandukan pada beberapa model iklim antarabangsa, jumlah turunan hujan di Negara kita dijangka berada dalam lingkungan normal bagi bulan Jun dan Julai iaitu antara 190 mm hingga 240 mm.

Manakala, bagi bulan Ogos dan September, turunan hujan dijangka berada dalam lingkungan sedikit di bawah normal iaitu antara 140 mm hingga 190 mm. Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.