1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada di penghujung fasa peralihan monsun, dimana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita. Negara kita dijangka akan beralih dari fasa peralihan monsun ke Monsun Barat Daya sekitar minggu terakhir bulan Mei.
Pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini (22 Mei 2023), Taufan MAWAR telah dikesan di koordinat 9.4°N 147.6°E, di kawasan Barat Lautan Pasifik iaitu sekitar 3600 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Taufan MAWAR diramalkan bergerak ke arah Barat Laut pada minggu ini.
2. Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Taufan MAWAR dijangka akan mempengaruhi cuaca di Negara kita dan akan menyebabkan keadaan cuaca Negara menjadi aktif dan tidak menentu mulai hari ini sehingga hari Sabtu, 27hb Mei 2023. Hujan atau hujan berpetir berserta angin kencang sekali-sekala dijangka berlaku dengan kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 50 kmsj di kawasan darat dan sehingga 60 kmsj di kawasan laut semasa atau dekat hujan lebat melintas.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak sedikit di antara paras 0.4 m ke 1.0 m.
3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat. Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.