KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 25 APRIL 2023
25 Apr 2023
Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam tempoh peralihan monsun, dimana pada lazimnya kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.
Sejak beberapa hari kebelakangan, negara telah mengalami keadaan cuaca yang agak panas pada waktu siang dengan hujan berasingan berlaku sementara di kawasan pesisiran sekitar waktu tengahari. Hujan atau hujan berpetir berasingan berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak ke beberapa kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.
Berdasarkan rekod klimatologi, purata suhu udara maksimum bagi Negara Brunei Darussalam untuk bulan April ialah 32.7°C. Setakat ini, Stesen Pencerapan Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam telah merekodkan suhu udara maksimum pada 24 April 2023, iaitu 36.4 °C.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam:
Cuaca Negara pada beberapa hari yang akan datang ini dijangka cerah dan panas dimana suhu udara diramalkan di antara 32 oC ke 35 oC pada waktu siang. Walau bagaimanapun, hujan atau hujan berpetir dijangka berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan boleh merebak ke kawasan pesisiran pada waktu malam.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan akan kejadian cuaca panas ini yang mana diramalkan berlaku. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan pedalaman dan juga kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.