SIARAN AKHBAR MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI, DAN JABATAN-JABATAN SERTA PIHAK-PIHAK BERKUASA DI BAWAHNYA BAGI TAHUN 1444/2023 KELOLAAN JABATAN KAJICUACA BRUNEI DARUSSALAM
19 Apr 2023
Rabu, 19 April 2023 – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Jabatan-Jabatan dan Pihak-Pihak Berkuasa Di Bawahnya telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada hari ini bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB). Majlis Khatam Al-Quran pada tahun ini dikelolakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD).
Hadir di majlis ini ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis dimulakan dengan menunaikan solat fardhu Zuhor berjemaah dan seterusnya diikuti dengan bacaan Takhtim dan doa khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd. Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada peserta-peserta bengkel-bengkel anjuran Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang diadakan di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.
Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan acara keugamaan yang diadakan setiap tahun, bertujuan bagi mengambil kesempatan meraih ganjaran pahala berlipat ganda dari Allah SWT dalam menyemarakan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan dan Pihak-Pihak Berkuasa Di Bawahnya.