KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 15 APRIL 2023

15 Apr 2023

Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam tempoh peralihan monsun, dimana pada lazimnya kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.

Sejak beberapa hari kebelakangan, negara telah mengalami keadaan cuaca cerah dan panas pada waktu siang dengan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar waktu tengahari. Hujan atau hujan berpetir berasingan berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak ke beberapa kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.

Berdasarkan rekod klimatologi, purata suhu udara maksimum bagi Negara Brunei Darussalam untuk bulan April ialah 32.7°C. Setakat ini, Stesen Pencerapan Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam juga telah merekodkan suhu udara maksimum harian bagi bulan ini antara 31°C ke 33°C.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif pada hari Ahad (16 April 2023) hingga hari Isnin (17 April 2023) disebabkan oleh kehadiran sistem tekanan rendah berdekatan di kawasan rantau kita. Ini akan mengakibatkan atmosfera menjadi tidak stabil dan lembap, yang menggalakkan pembentukan awan-awan hujan dan juga boleh menyebabkan keadaan berangin dan sekali sekala kencang terutama semasa hujan lebat melintasi kawasan negara kita.

Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, dijangka akan menjejaskan beberapa kawasan Negara. Kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 40 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, dengan ketinggian ombak di paras 0.3-0.6 meter.

Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.