SIARAN AKHBAR FORUM CUACA SEMPENA HARI KAJICUACA SEDUNIA 2023

30 Mar 2023

Khamis, 30 Mac 2023 – Hari Kajicuaca Sedunia disambut setiap tahun pada 23 Mac bagi memperingati berkuatkuasanya konvensyen Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) pada tahun 1950. Hari Kajicuaca Sedunia juga disambut bagi menghargai sumbangan-sumbangan penting yang diberikan oleh Perkhidmatan-Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia. Pada tahun ini, Hari Kajicuaca Sedunia diraikan dengan tema yang dipilih iaitu ‘Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentas Generasi’ (‘The Future of Weather, Climate and Water Across Generations’).

Sempena memperingati dan menyambut Hari Kajicuaca Sedunia 2023, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC),telah mengadakan satu Forum Cuaca pada hari ini, bertempat di Dewan Auditorium Jabatan Penerangan, Berakas.

Hadir di acara tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunkasi.

Ahli panel pada forum cuaca tersebut terdiri daripada Pegawai Kajicuaca dari BDMD iaitu Dayang Nurulinani binti Haji Jahari, dan juga panel-panel jemputan iaitu Pengiran Siti Roslina binti Pengiran Haji Abd Hamid, Jurutera dari Jabatan Saliran dan Pembentungan (DSS), Dayang Siti Joriahati binti Johari, Pegawai Pengurusan Bencana dari Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan juga Awang Mohammad Zulfadhli bin Haji Mahri, Ketua Unit Adaptasi dan Kedayatahanan dari Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).

Dengan tema ‘Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentas Generasi’, forum cuaca ini memberi tumpuan kepada situasi cuaca yang akan dihadapi di Negara Brunei Darussalam, bukti perubahan iklim di negara ini dan sejarah pendek mengenai kemajuan dan pencapaian dalam bidang kajicuaca. Manakala panel-panel jemputan juga membincangkan mengenai pelbagai topik berkisar tentang ancaman global perubahan iklim dan kejadian banjir kilat di Negara Brunei Darussalam serta langkah-langkah yang perlu diambil dalam menangani cabaran tersebut.

Forum juga diselajurkan dengan pemberigaan mengenai Monsun Peralihan yang dijangka akan bermula secara lazimnya pada April setiap tahun. Ianya bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam serta dapat memudahcara kesiap-siagaan dalam membuat perancangan dan tindakan awal dalam menghadapi sebarang keadaan cuaca.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta jemputan-jemputan khas termasuk wakil-wakil daripada kumpulan-kumpulan pengguna khidmat cuaca dan iklim seperti kumpulan tindakan awal dan keselamatan, kumpulan ekonomi dan industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat insurans, perusahaan kecil dan sederhana dan juga pihak media massa.