KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 18 MAC 2023

18 Mar 2023

Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada di penghujung fasa kedua Monsun Timur Laut, dimana pada lazimnya angin Timur Laut adalah lebih dominan dan keadaan atmosfera adalah lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif pada hari ini, Sabtu (18 Mac 2023) hingga hari Ahad (19 Mac 2023). Keadaan ini adalah disebabkan oleh sistem tekanan rendah di kawasan rantau kita. Ini telah mengakibatkan atmosfera tidak stabil dan lembap, yang menggalakkan pembentukan awan-awan hujan dan juga boleh menyebabkan keadaan berangin dan sekali sekala kencang terutama semasa hujan lebat melintasi kawasan negara kita.

Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, dijangka akan menjejaskan beberapa kawasan Negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, dengan ketinggian ombak di paras 0.6-1.2 meter.

Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Risiko kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.