KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 FEBRUARI 2023
24 Feb 2023
Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada di dalam fasa kedua Monsun Timur Laut, dimana pada lazimnya angin Timur Laut adalah lebih dominan dan keadaan atmosfera adalah lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.
Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari yang akan datang disebabkan oleh kehadiran luruan angin Timur Laut yang berintensiti kuat, dan sistem tekanan rendah di kawasan rantau kita. Keadaan ini akanmenghasilkan atmosfera yang tidak stabil dan lembap, dan seterusnaya menggalakkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula pada hari ini, Jumaat (24 Februari 2023) hingga hari Selasa (28 Februari 2023), dengan hujan lebat dan berpetir dijangka akan menjejaskan kebanyakkan kawasan Negara. Keadaan berangin, sekali sekala kencang sehingga 45 kmsj juga boleh berlaku terutama semasa hujan lebat melintasi kawasan negara kita.
Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana, dengan ketinggian ombak 1.0-1.8 meter. Namun, keadaan laut diramalkan berombak di paras bergelora, dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter terutama di kawasan lepas pantai mulai lewat malam hari Sabtu, 25 Februari 2023 sehingga hari Khamis, 2 Mac 2023.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Risiko kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab