KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 30 JANUARI 2023

30 Jan 2023

Keadaan Secara Am:


Negara Brunei Darussalam masih berada di dalam fasa pertama Monsun Timur Laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:


Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula malam hari ini, Isnin (30 Januari 2023) hingga hari Khamis (2 Februari 2023). Keadaan ini adalah disebabkan oleh pengaruh luruan angin Timur Laut dan pembentukan kawasan tekanan rendah di kawasan rantau kita yang menggalakkan pembentukan awan hujan dan seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan di negara kita.

Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, dijangka berlaku dengan angin kencang boleh mencapai kelajuan sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

Manakala di perairan Brunei, keadaan laut berombak di paras sederhana ke bergelora, dengan ketinggian ombak 1.0 meter hingga 3.0 meter.

Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Risiko kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut juga adalah berbahaya bagi semua operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang (www.met.gov.bn) atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.