KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 23 JANUARI 2023

23 Jan 2023

Keadaan Secara Am:


Negara Brunei Darussalam sekarang masih berada di dalam fasa pertama Monsun Timur Laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir dijangka berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:


Mengikut model ramalan cuaca berangka yang terkini, keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula malam ini, hari Isnin (23 Januari 2023) sehingga hari Ahad (29 Januari 2023). Keadaan cuaca aktif adalah disebabkan oleh pengaruh luruan angin Timur Laut dan juga pembentukan sistem tekanan rendah di kawasan rantau kita. Keadaan ini telah menyebabkan keadaan atmosfera tidak stabil dan lembap, yang menggalakkan pembentukan awan-awan hujan. Pengaruh sistem tekanan rendah juga boleh menyebabkan keadaan cuaca berangin dan sekali sekala kencang terutamanya semasa hujan lebat melintasi kawasan negara kita.

Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj di kawasan darat dan sehingga 50 kmsj di kawasan laut semasa atau dekat hujan lebat.


Manakala di perairan Brunei, keadaan laut berombak sederhana ke bergelora, di paras 1.0 ke 3.0 meter.

Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang (www.met.gov.bn) atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.