Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada di dalam fasa pertama Monsun Timur Laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir, sekali-sekala lebat dijangka berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
Bermula hari Rabu lepas, negara telah mengalami keadaan cuaca aktif yang dipengaruhi oleh luruan angin Timur Laut dan juga pembentukan sistem tekanan rendah di kawasan rantau kita. Keadaan ini telah menyebabkan keadaan atmosfera tidak stabil dan lembap, yang menggalakkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif. Pengaruh sistem tekanan rendah juga telah menyebabkan keadaan berangin dan sekali sekala kencang terutama semasa hujan melintasi kawasan negara kita.
Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 50.3 mm pada hari Khamis kelmarin. Manakala, kelajuan angin maksimum yang direkodkan adalah sekitar 32 kmsj pada pukul 1.45 petang.
Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Mengikut model ramalan cuaca berangka yang terkini, keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam masih diramalkan aktif sehingga hari Selasa (27 Disember 2022).Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, masih dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut masih berombak di paras sederhana ke bergelora, di paras 1.0 meter hingga 3.0 meter.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut yang bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang (www.met.gov.bn) atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).
Wallahu a’lam Bissawab.