Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada di dalam fasa pertama Monsun Timur Laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau ribut petir sekali-sekala berlaku pada waktu malam hingga ke awal pagi.
Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula esok, Khamis (15 Disember 2022) hingga Sabtu (17 Disember 2022) disebabkan oleh pengaruh luruan angin Timur Laut dan pembentukan kawasan tekanan rendah di kawasan rantau kita. Keadaan ini lazimnya meningkatkan pembentukan awan hujan dan seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan di negara kita.
Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut adalah berombak di paras sedikit hingga sederhana, dengan ketinggian ombak di paras 0.6 meter hingga 1.4 meter.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang (www.met.gov.bn) atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).
Wallahu a’lam Bissawab.