KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 12 DISEMBER 2022

12 Dec 2022

1. Keadaan Secara Am:


Negara Brunei Darussalam sekarang berada di dalam fasa pertama Monsun Timur Laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau ribut petir sekali-sekala berlaku pada waktu malam hingga ke awal pagi.

Pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan hari ini (12 Disember 2022), Ribut Tropika PAKHAR telah dikesan di koordinat 20.1°N 129.3°E, di kawasan Lautan Pasifik Barat, iaitu sekitar 2,340 km dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Ribut Tropika PAKHAR diramalkan akan bergerak ke arah Timur Laut menjauhi negara kita.

Rajah 1

2. Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:


Ribut Tropika PAKHAR dijangka tidak akan menjejaskan cuaca di negara kita. Namun, pengaruh luruan angin Timur Laut masih berpotensi meningkatkan pembentukan awan hujan di kawasan Laut China Selatan dan seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan di Negara kita. Oleh itu, keadaan cuaca masih dijangka aktif sehingga hari Selasa, 13 Disember 2022.

Hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir, dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

Keadaan laut adalah berombak di paras sedikit ke sederhana, dengan ketinggian ombak di bawah 1.5 meter.

3. Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram baru kami (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.