KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MONSUN TIMUR LAUT (DISEMBER 2022 HINGGA MAC 2023)
28 Nov 2022
Negara Brunei Darussalam akan memasuki Monsun Timur Laut pada awal bulan Disember 2022 dan dijangka akan berterusan sehingga bulan Mac 2023. Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember 2022 dan Januari 2023), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, lazimnya negara menerima jumlah turunan hujan yang terbanyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi berbanding dengan bulan-bulan lain. Semasa tempoh ini, negara pada lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir, sekali-sekala lebat berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
Berasaskan data klimatologi, bulan Disember merekodkan jumlah purata turunan hujan sebanyak 358.9 mm, manakala bulan Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 320.6 mm. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Disember ialah 22 hari dan bagi bulan Januari ialah 18 hari.
Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac 2023), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan, di mana jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 162.9 mm dan bagi bulan Mac ialah 143.4 mm.
Semasa Musim Tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta risiko kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora melebihi 2.0 meter dan kelajuan angin boleh meningkat melebihi 45kmsj.
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku semasa Musim Tengkujuh ini. Keadaan laut adalah juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jet ski, dan scuba diving) semasa musim ini. Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).
Wallahu a’lam Bissawab.