KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 31 OKTOBER 2022

31 Oct 2022

1. Keadaan Secara Am:


Negara Brunei Darussalam sekarang masih berada di fasa peralihan monsun, dimana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita.

Pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan hari ini (31 Oktober 2022), Ribut Tropika Kuat NALGAE telah dikesan di koordinat 16.1°N 116.8°E, di kawasan Laut China Selatan iaitu sekitar 1400 km dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Ribut Tropika Kuat NALGAE diramalkan akan bergerak ke arah Barat Laut menjauhi negara kita.



2. Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:


Ribut Tropika Kuat NALGAE secara tidak langsung mempengaruhi cuaca di negara kita dan akan menyebabkan keadaan cuaca negara menjadi aktif untuk beberapa hari akan datang terutamanya pada malam ini (31 Oktober 2022) sehingga 2 November 2022. Hujan, sekali-sekala lebat dan berangin kencang, masih dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak bergelora di paras 2.0 m ke 3.0 m sehingga tamat tempoh Amaran Perairan Peringkat Pertama - Angin Kencang dan Laut Bergelora iaitu pada 3 November 2022.

Kemudian keadaan laut dijangka akan berombak sederhana di paras 1.2 m ke 1.8 m sehingga hujung minggu.

3. Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif dan keadaan laut bergelora yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram baru kami (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.