KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 11 OKTOBER 2022

11 Oct 2022

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darusssalam


Negara Brunei Darussalam sekarang berada di Monsun Peralihan, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita.
Pada beberapa hari kebelakangan ini, hujan dan ribut petir kerap berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam


Keadaan cuaca negara masih diramalkan aktif bermula hari ini, Selasa (11 Oktober 2022) hingga Sabtu (15 Oktober 2022) disebabkan oleh pengaruh sistem tekanan rendah yang membentuk di kawasan Laut China Selatan. Keadaan ini dijangka boleh menyebabkan kejadian hujan berangin ribut sekali-sekala berlaku terutamanya di perairan negara dan kadang-kala menjejaskan kawasan darat.

Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj di kawasan darat dan 60 kmsj di perairan negara, semasa atau dekat hujan berangin ribut.

Manakala di perairan Brunei, keadaan laut berombak di paras bergelora, di antara 2.0 meter hingga 3.0 meter, terutamanya bermula pada Rabu (12 Oktober 2022) hingga Jumaat (14 Oktober 2022).

Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora juga adalah berbahaya kepada kepada semua bot bersaiz kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.