KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 3 OKTOBER 2022

03 Oct 2022

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darusssalam


Negara Brunei Darussalam kini memasuki Monsun Peralihan pada awal Oktober ini, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita.
Semasa Monsun Peralihan, negara kita pada lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengahari. Manakala, hujan dan ribut petir berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam


Keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula petang ini, Isnin (3 Oktober 2022) hingga Ahad (9 Oktober 2022). Keadaan ini adalah disebabkan oleh atmosfera yang lembap di rantau kita dan sekaligus menggalakkan pembentukan awan hujan yang aktif di kawasan negara kita. Hujan dan ribut petir sekali-sekala dijangka berlaku dengan angin kencang boleh meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan ribut petir.

Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah 1.0 meter.

Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Risiko berlakunya banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.