PERMULAAN MONSUN PERALIHAN BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 29 SEPTEMBER 2022
29 Sep 2022
Negara Brunei Darussalam akan mula memasuki Monsun Peralihan pada awal Oktober ini iaitu selepas Monsun Barat Daya dan sebelum memasuki Monsun Timur Laut. Monsun Peralihan ini dijangka berterusan sehingga hujung bulan November 2022.
Sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan akan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita. Berasaskan data klimatologi, bulan Oktober dan November adalah bulan-bulan di mana kejadian ribut petir lebih kerap berlaku dan menerima jumlah turunan hujan yang lebih banyak, dan juga lebih banyak hari-hari berhujan.
Pada lazimnya, bulan Oktober menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 313.6 mm, manakala bulan November menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 322.9 mm iaitu antara jumlah turunan hujan yang tinggi bagi negara kita. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Oktober ialah 23 hari dan bagi bulan November ialah 24 hari.
Sepanjang Monsun Peralihan ini, negara lazimnya mengalami:
• Keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengahari;
• Ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya;
• Tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah Barat Laut pada waktu petang; dan
• Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja ianya dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram baru kami (@brunei.weather).
Wallahu a’lam Bissawab.