KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 SEPTEMBER 2022

24 Sep 2022

1. Keadaan Secara Am:



Negara Brunei Darussalam masih berada di penghujung Monsun Barat Daya, dimana luruan angin Barat Daya masih dominan dan keadaan atmosfera yang stabil.

Pada pukul 5 pagi waktu tempatan hari ini (24 September 2022), Ribut Tropika Noru telah dikesan di koordinat 16.5°N 128.4°E, di Kawasan Timur Laut Filipina, sekitar 2000 km dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1).

Ribut Tropika Noru diramalkan bergerak ke arah Barat menuju Laut China Selatan dan dijangka akan naiktaraf menjadi Taufan dalam beberapa hari akan datang.

Rajah 1

2. Keadaan Cuaca Brunei:



Ribut Tropika Noru secara tidak langsung akan menjejaskan cuaca di negara kita dan menyebabkan keadaan cuaca negara berangin dan aktif bagi beberapa hari akan datang, terutamanya bermula pada malam 25 September hingga 28 September. Hujan berangin ribut atau hujan badai sekali-sekala lebat dijangka berlaku, menjejaskan kebanyakan kawasan negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj di kawasan darat dan boleh mencapai sehingga 60 kmsj di kawasan laut semasa atau dekat hujan berangin ribut.

Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak sedikit di paras 0.4 meter hingga 1.0 meter. Walau bagaimanapun ketinggian ombak boleh mencapai ke paras bergelora sehingga 3.0 meter dekat hujan berangin ribut.

3. Nasihat Kami:



Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca berangin dan aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin, dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan kejadian air pasang.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram baru kami (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.