Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam masih berada di penghujung Monsun Barat Daya, dimana luruan angin Barat Daya masih dominan dan keadaan atmosfera adalah stabil.
Walau bagaimanapun, keadaan cuaca negara pada beberapa hari kebelakangan ini adalah aktif disebabkan oleh pengaruh secara tidak langsung daripada sistem-sistem taufan yang melanda kawasan Barat Laut Lautan Pasifik.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif masih diramalkan berlaku pada minggu ini terutamanya pada 22 dan 23 September disebabkan oleh pembentukan awan hujan yang aktif yang berpotensi menyebabkan hujan berangin ribut atau hujan badai berlaku sekali-sekala di negara kita.
Hujan berangin ribut atau hujan badai dijangka sekali-sekala menjejaskan kawasan negara, terutamanya di kawasan laut dan boleh merebak ke kawasan darat. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj.
Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak sedikit, di paras 0.4 meter hingga 1.0 meter.
Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab.