1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam masih berada di penghujung Monsun Barat Daya di mana pada amnya Negara mengalami keadaan cuaca baik pada waktu pagi dan hujan pada waktu petang atau malam dan sekali sekala berlaku hujan badai.
Pada pukul 5.45 pagi waktu tempatan hari ini, Taufan Hinnamnor dikesan di koordinat 29.2°N 124.7°E, di kawasan Laut China Timur, sekitar 2935 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1) Taufan Hinnamnor diramalkan akan bergerak ke arah Timur Laut menjauhi negara kita.
2. Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Taufan Hinnamnor dijangka mempengaruhi keadaan cuaca Negara kita secara tidak langsung.
Walau bagaimanapun, pembentukan satu sistem tekanan rendah berdekatan dengan Negara kita akan menjadikan keadaan atmosfera menjadi tidak stabil dan lembap dan seterusnya menggalakkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.
Keadaan cuaca aktif dijangka berlaku bermula hari Khamis hingga hari Ahad (8 September 2022 hingga 11 September 2022). Hujan atau hujan berpetir sekali-sekala, terutamanya pada waktu petang dan berterusan hingga ke malam. Keadaan hujan berkemungkinan berlanjutan hingga ke awal pagi. Hujan dijangka sekali-sekala lebat berserta angin kencang dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40 kmsj.
Keadaan laut pada amnya di paras sedikit dengan ketinggian ombak 0.6 hingga paras sederhana dengan ketinggian 1.2 m.
3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab.