KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 23 OGOS 2022

23 Aug 2022

1. Keadaan Secara Am:

Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya di mana pada amnya Negara mengalami keadaan cuaca baik pada waktu pagi dan hujan pada waktu petang.

Pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini (23 Ogos 2022), dua ribut tropika telah dikesan iaitu Ribut Tropika Ma-On yang berada di koordinat 17.3°N 122.2°E, di kawasan Timur Laut Filipina, sekitar 1635 km jauh dari Negara Brunei Darussalam

(Rajah 1)

dan Ribut Tropika Tokage yang berada di koordinat 29.1°N 150.3°E, di kawasan Tenggara Jepun, sekitar 4631 km jauh dari Negara Brunei Darussalam

(Rajah 2).



Ribut Tropika Ma-On diramalkan bergerak ke arah Barat Laut dan Ribut Tropika Tokage diramalkan bergerak ke arah Timur Laut, dan kedua-dua ribut tropika ini dijangka bergerak menjauhi negara kita.

2. Keadaan Cuaca Brunei:

Ribut Tropika Tokage tidak akan memberi kesan terhadap cuaca Negara kita. Walaubagaimanapun Ribut Tropika Ma-On secara tidak langsung akan menyebabkan keadaan cuaca Negara menjadi tidak menentu pada minggu ini, terutamanya pada 24 Ogos dan 25 Ogos. Hujan atau hujan berpetir sekali-sekala dijangka melintasi kawasan darat dan perairan Negara terutamanya pada waktu malam hingga ke awal pagi. Hujan dijangka sekali-sekala lebat berserta angin kencang dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj.

Keadaan laut pada amnya di paras sedikit dengan ketinggian ombak di antara 0.4 hingga 0.8 m.

3. Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.