KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 13 JULAI 2022
13 Jul 2022
Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya di mana pada amnya negara mengalami keadaan cuaca baik pada waktu pagi dan hujan pada waktu petang.
Walau bagaimanapun, pada beberapa hari kebelakangan ini, negara telah mengalami keadaaan cuaca aktif yang dipengaruhi oleh sistem tekanan rendah di Laut China Selatan yang menyebabkan keadaan atmosfera tidak stabil dan lembap, yang menggalakkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.
Pengaruh sistem tekanan rendah ini juga telah menyebabkan keadaan berangin dan sekali sekala kencang terutama semasa hujan melintasi kawasan negara kita.
Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif masih diijangka berlaku sehingga hujung minggu ini (16 Julai 2022) dengan hujan berangin ribut sekali-sekala, terutamanya pada waktu petang dan malam, dan keadaan hujan berkemungkinan
berlanjutan hingga ke awal pagi. Hujan dijangka sekali-sekala lebat, berangin kencang dan berpetir, dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj di kawasan darat.
Manakala di kawasan perairan Brunei kelajuan angin boleh mencapai sehingga 55 kmsj dengan keadaan laut pada amnya di paras sedikit hingga sederhana, dengan ketinggian ombak antara 0.6 m hingga 1.6 m.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa keadaan berangin ribut. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab.