KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 20 JUN 2022

20 Jun 2022

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam

Negara Brunei Darussalam sekarang berada di Monsun Barat Daya, dimana luruan angin Barat Daya dijangkakan menjadi lebih dominan dan keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil.
Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca adalah aktif untuk beberapa hari kebelakangan ini disebabkan oleh pengaruh Fenomena La Nina di kawasan rantau kita yang menyebabkan perubahan aliran angin menjadi bertiup dari beberapa arah, dan keadaan atmosfera yang lembap yang mana telah menyebabkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca tidak menentu diramalkan berterusan sehingga hujung minggu ini dengan hujan atau hujan berpetir berlaku sekali-sekala, terutamanya pada waktu malam hingga ke awal pagi. Hujan atau hujan berpetir dijangka sekali-sekala lebat dan berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40 kmsj.

Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di bawah 0.6 m.

Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.