PERMULAAN MONSUN BARAT DAYA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 30 MEI 2022

30 May 2022

Negara kita akan beralih dari fasa Peralihan Monsun ke Monsun Barat Daya yang dijangkakan bermula sekitar minggu terakhir bulan Mei ini. Keadaan angin yang secara amnya perlahan dan bertiup dari berbagai arah akan mula bertukar bertiup dari arah Barat Daya.

Pada Musim Barat Daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa fasa Peralihan Monsun pada 2 bulan yang lalu. Monsun Barat Daya biasanya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar bulan Ogos, Negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Merujuk pada rekod klimatologi kami, jumlah turunan hujan normal yang di rekodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan Jun, Julai dan Ogos adalah 237.7 mm, 241.8 mm dan 231.5 mm. Berpandukan pada beberapa model iklim antarabangsa, jumlah turunan hujan di Negara kita bagi bulan Jun dijangka berada dalam lingkungan sedikit di bawah normal. Manakala, bagi bulan Julai dan Ogos, turunan hujan dijangka berada dalam lingkungan sedikit di atas normal.

Monsun Barat Daya juga adalah selari dengan musim pembentukan sistem siklon yang aktif seperti ribut tropika dan taufan di kawasan Barat Laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

Sekiranya sistem siklon dikesan, tertakluk pada jarak lokasi sistem tersebut daripada kawasan Negara kita, Negara akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan sekali sekala berlaku hujan ribut petir berserta angin kencang.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook, Instagram dan saluran YouTube (/BruneiWeather).

Wallahu a’lam Bissawab.